Jumaat, 1 Januari 2010

Hukum Solat Gerhana

Hukum Solat Gerhana

Ulama telah bersepakat tentang hukum sunat muakkad bagi melaksanakan solat sunat gerhana. Hukum sunatnya adalah sama dengan hukum solat dua hari raya. Solat sunat gerhana pula hanya dilakukan di tempat berlakunya gerhana. Jika saudara kita di satu tempat seperti Afrika Utara mengetahui ramalan akan berlakunya gerhana matahari separuh pada 29 Safar 1428, tetapi gerhana tersebut tidak berlaku d Malaysia, maka umat Islam di Malaysia tidak disunatkan untuk melakukan solat gerhana.

Dalil Pensyariatan

Hukum solat sunat gerhana adalah berdasarkan dalil dari

(1) Surah Fussilat, ayat 37,

لاَ تَسْجُدُواْ لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُواْ لِلَّهِ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya “Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah”.

(2) Hadis riwayat Imam Muslim yang maksudnya;

“Sesungguhnya kedua-dua matahari dan bulan adalah daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidak berlaku gerhana kerana kematian atau kerana hidupnya seseorang, apabila kalian menyaksikan fenomena gerhana tersebut maka solatlah dan berdoalah”

Menurut Imam Ibrahim al-Baijuri, antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluk yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah. Jika kedua-duanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka, nescaya akan menjaga dirinya daripada kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika?


Perbezaan Antara Gerhana Bulan (GB) dan Gerhana Matahari (GM)

Pertama:
GB: Biasanya berlaku pada pertengahan bulan hijri.
GM: Biasanya berlaku pada akhir bulan hijri.

Kedua:
GB: Berlaku pada waktu malam.
GM: Berlaku pada waktu siang.

Ketiga:
GB: Disunatkan membaca al-Fatihah dan surah secara kuat (jahar).
GM: Disunatkan membaca al-Fatihah dan surah secara perlahan (khafiyy).



Tatacara Sebelum Melaksanakan Solat Sunat Gerhana

1. Sunat mandi terlebih dahulu.

2. Tidak disunatkan memotong kuku atau bercukur kerana waktu yang sempit.

3. Sunat juga memakai pakaian yang biasa (pakaian harian), bukan pakaian yang cantik-cantik seperti solat sunat istisqa’ (minta hujan).


Waktu Disunatkan Solat Sunat Gerhana

Waktunya bermula ketika berlakunya gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana tersebut dan keadaan menjadi seperti sedia kala. Begitu juga tidak diharuskan menambah ruku’ menjadi tiga bagi satu rakaat sekalipun gerhana berlaku panjang, atau memendekkan ruku’ menjadi satu bagi satu rakaat sekalipun gerhana sudah berlalu. Jika gerhana berlalu dan hilang sedang kita masih dalam keadaan bersolat maka dikira sah. Jika gerhana berlaku pada waktu yang ditegah padanya kita bersembahyang, maka dengan sebab gerhana kita disunatkan bersembahyang dan makruh pula meninggalkannya jika kita melihat fenomena gerhana. Ini adalah pendapat di sisi mazhab kita.

Beberapa Peringatan

i. Tidak perlu azan dan iqamah untuk memanggil jemaah menunaikan solat gerhana tetapi cukup dengan sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )

ii. Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan. Bagi solat sunat gerhana matahari pula disunatkan memperlahankan suara pada bacaan Fatihah dan surah.

iii. Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.

iv. Sunat menyampaikan khutbah (dua khutbah seperti khutbah Jumaat) selepas solat sunat gerhana walaupun gerhana sudah hilang.

v. Sunat menyampaikan khutbah (seperti khutbah hari raya tetapi tidak disunatkan bertakbir 9 atau 7 kali berturutan pada mukaddimah khutbah).

vi. Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah agar bertaubat daripada maksiat, bersedekah, berbuat kebajikan, banyak berdoa, beristighfar dan berzikir, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingatkan manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.

vii. Jika dilakukan berseorangan atau jemaah hanya daripada kalangan wanita, maka tidak perlu khutbah (tetapi harus memberi tazkirah kepada jemaah wanita).



PANDUAN RINGKAS SOLAT GERHANA & KHUTBAHNYA

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”


Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari

أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”


Cara & Bilangan Rakaat

Terdapat 3 cara melaksanakan solat sunat gerhana iaitu;

i. Yang terlebih sempurna ialah dilakukan 2 rakaat dengan setiap rakaat 2 ruku’ dan 2 qiyam yang dipanjangkan bacaan surah dan tasbihnya pada kedua-dua rakaat (Kesimpulannya: jumlah ruku’, qiyam dan sujud adalah sebanyak 4 kali dalam dua rakaat solat sunat gerhana). Ini adalah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya dan melibatkan masa yang amat panjang. Kadar panjang bacaan surah ialah surah al-Baqarah (286 ayat) dalam qiyam pertama, sirah Aali Imran (200 ayat) dalam qiyam kedua, surah al-Nisa’ (176 ayat) dalam qiyam ketiga, dan surah al-Ma’idah (120 ayat) dalam qiyam keempat). Kadar panjang tasbih ialah sekadar bacaan 100 ayat dalam ruku’ dan sujud pertama, sekadar bacaan 90 ayat dalam ruku’ dan sujud kedua, sekadar bacaan 70 ayat dalam ruku’ dan sujud ketiga, dan sekadar bacaan 50 ayat dalam ruku’ dan sujud keempat.

ii. Yang lebih sempurna dilakukan 2 rakaat dengan 2 kali ruku’ dan 2 kali qiyam, dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat. Ini adalah cara yang sederhana dan tidak memakan masa yang lama.

iii. Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ini adalah cara dan bilangan rakaat yang paling minimum dan melibatkan tempoh yang singkat.


Huraian Cara Kedua (Sederhana Panjang)

Berikut adalah huraian cara solat gerhana dalam tempoh yang sederhana iaitu sekitar 30-40 minit berdasarkan pengalaman menunaikan solat gerhana bulan pada hari Selasa 15 Syaaban 1428 bersamaan 28 Ogos 2007 lalu. Turut dicadangkan bacaan surah-surah pilihan daripada juzuk ke-30 yang lebih dikenali di kalangan masyarakat kita dengan ’ayat-ayat lazim’.


(Rakaat Pertama)

1. Takbiratul Ihram.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca Isti’azah. (أَعُوْذُ بِالله مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ)
4. Membaca surah al-Fatihah.
5. Membaca surah dalam qiyam pertama. Dicadangkan membaca surah surah al-Baqarah (ayat 1-25) atau surah al-A’laa (19 ayat).
6. Ruku’ (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
7. Iktidal dan qiyam kedua, membaca surah al-Fatihah dan surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 26-48) atau surah al-Ghaasyiyah (26 ayat).
8. Ruku’ (kedua) dengan membaca tasbih (90 kali tasbih).
9. Iktidal.
10. Sujud (pertama) dan membaca tasbih (100 kali tasbih).
11. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
12. Sujud (kedua) dan membaca tasbih (90 kali tasbih).
13. Berdiri ke rakaat kedua.

(Rakaat Kedua)

1. Qiyam ketiga dan membaca surah al-Fatihah.
2. Membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 49-61) atau surah al-Syams (15 ayat).
3. Ruku’ (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
4. Iktidal dan qiyam keempat, membaca surah al-Fatihah dan membaca surah. Dicadangkan membaca surah al-Baqarah (ayat 62-74) atau surah al-Zalzalah (8 ayat).
5. Ruku’ (keempat) dengan membaca tasbih (50 kali tasbih).
6. Iktidal.
7. Sujud (ketiga) dan membaca tasbih (70 kali tasbih).
8. Duduk antara 2 sujud (sunat dipanjangkan tempohnya).
9. Sujud (keempat) dan membaca tasbih (50 kali tasbih).
10. Membaca tasyahhud akhir.
11. Memberi salam & imam bangun menyampaikan dua khutbah.

RUJUKAN

Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.

Khamis, 31 Disember 2009

Hikmah penurunan ayat suci al-Quran


AL-QURAN adalah kalam Allah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad saw, pembawa amanat yang jujur dan tanggungjawab. Al-Quran yang dibawanya mengandungi undang-undang dan petunjuk bagi umat Islam dalam mengatur tujuan hidup dan kehidupan sejagat. 

Firman Allah bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu adalah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan salah...” - (Surah al-Baqarah, ayat 185). 

Apakah al-Quran? ‘Quran’ menurut pendapat yang paling kuat seperti dikemukakan Dr Subhi Al Salih bererti ‘bacaan,’ asal kata qara’a. Kata al-Qur’an berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul iatu maqru’ (dibaca).

Dalam al-Quran ada pemakaian kata ‘Quran’ seperti dalam ayat 17 dan 18, Surah al-Qiyaamah. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya mengumpulkan al-Quran (dalam dadamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan kami. Kerana itu jika kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikut bacaannya.” 

Kemudian dipakai kata ‘Quran’ untuk al-Quran yang dikenal sekarang ini. 

Ada pun definisi al-Quran adalah: “Kalam Allah yang juga mukjizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad dan yang ditulis di mushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah.’

Dengan definisi ini, kalam Allah yang diturunkan kepada nabi selain Nabi Muhammad tidak dinamakan al-Quran seperti Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Injil (Nabi Isa). Dengan demikian pula, Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang membacanya tidak dianggap sebagai ibadah seperti hadis Qudsi, tidak pula dinamakan al-Quran. 

Bagaimanakah al-Quran diwahyukan? Nabi menerima wahyu dengan pelbagai cara dan keadaan, antaranya: 


  •  Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. 

    Dalam hal ini, Nabi Muhammad tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya. - (Surah Asy Syuura, ayat 51).


  •  Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi berupa seorang lelaki yangmengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu. 


  •  Wahyu datang kepadanya seperti gemerincingnya loceng. 

    Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi. Kadang-kadang pada keningnya keluar peluh walaupun ketika wahyu itu turun pada musim sejuk yang teruk. 

    Ada kalanya, unta yang Baginda tunggang terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun. 


  •  Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi, tidak berupa seorang lelaki seperti keadaan di atas, tetapi benar-benar seperti rupanya yang asli. Hal ini disebut dalam ayat 13 dan 14 Surah an-Najm. 

    Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. 

    Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu adalah: 


  •  Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya ia diturunkan sekali gus secara banyak. Hal ini disebutkan oleh Bukhari dan riwayat Aisyah. 


  •  Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan permasalahan pada waktu itu. Perkara ini tidak dapat dilakukan sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh). 


  •  Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku akan lebih mengesankan dan berpengaruh di hati. 


  •  Memudahkan penghafalan. 

    Orang musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran ayat 32, Surah al-Furqan. “Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus?” 

    Dijawab dalam ayat itu sendiri: “Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.” 



  •  Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan. Perkara ini seperti dikatakan oleh lbnu ‘Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau al-Quran diturunkan sekali gus.

  • Khamis, 5 November 2009

    Isnin, 26 Oktober 2009

    Kelebihan Zikir Kepada Allah



    Allah Yang Maha Besar selalu mengingatkan kita di dalam kitab-Nya Al-Quran Al-Karim supaya berzikirillah seperti berikut:

    “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang, dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepadaNya dan bertasbihlah kepadaNya pada bahagian yang panjang di malam hari.” Surah 76: Al Insan, Ayat 25 & 26

    “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” Surah 7: Al A’raf, Ayat 205


    “Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” Surah 3: Al Imran Ayat 191

    “Sesungguhnya Aku lah Allah, tidak ada Tuhan selainKu, maka sembahlah Aku dan dirikanlah salat untuk mengingat Aku.” Surah 20 Ta Ha Ayat 14

    Petua Penawar Jiwa


    Nabi s.a.w. besabda yang bermaksud:

    " Sesiapa yang apabila dia berada di hamparan tidurnya beristighfar sebanyak tiga kali, dia
    memohon ampun kepada Allah, Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa-dosanya."
    (hadis riwayat Ibn 'Asakir)

    Daripada Abu Hurairah r.a. beliau menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. datang kepadanya yang sedang bercucuk tanam. apabila nabi datang, Baginda bertanya kepada saya, "Wahai sahabatku Abu Hurairah mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu tanaman yang lebih baik daripada tanamanmu ini?" Aku menjawab, "Apakah dia ya Rasulullah?"


    Jawab Baginda, "subhanallah alhamdulillah walailahaillallah allahuakbar"

    adalah lebih baik lagi daripada tanaman ini. Apabila kamu berzikir kepada Allah s.w.t., setiap zikir yang kamu ucapkan Dia akan menanamkan untukmu sepohon pokok di dalam syurga.


    Diharap titipan ini dapat dijadikan pegangan kepada kita semua..sama-samalah kita jadikan zikir sebagai suatu amalan. Jika kita boleh mencari masa untuk makan dan berhibur, apa salahnya andai kita luangkan sedikit masa untuk mengingatiNYA dengan berzikir. Sebelum tidur, pupuklah hati kita agar memaafkan apa yang silap dan memohon maaf andai berbuat kesilapan. Kita imbas kembali perkara2 yang kita telah kita lakukan pada hari ini. Kita harus sentiasa bermuhasabah agar kita tidak terus leka dengan keduniaan..

    Kemanakah hendak pergi....


    Ke manakah halatuju anda sebenarnya?
    Jahiliyah atau Islam?
    Semuanya terletak pada diri anda sendiri..
    Tepuk dada tanyalah iman.

    Jika Islam pilihan anda..masuklah secara keseluruhannya..
    Amalkan ajaran Islam secara keseluruhannya.

    "Wahai orang-orang yang beriman!Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dgn mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan. sesungguhnya, syaitan adalah musuh yang terang dan nyata". (2:208)

    Adakah kita telah mengamalkan segala ajaran Islam?Bagaimanakah untuk menjadi seorang muslim yang sejati?sesungguhnya, jika kita menolong agama Allah nescaya Allah akan menolong kita..Mungkin bagi sesetengah orang fikir bahawa mereka tiada masa untuk mencari pengisian untuk diri sendiri kerana sibuk mencari kesenangan hidup. Namun, adakah kesenangan hidup hanya semata-mata dengan wang ringgit?Bagaimana dengan rohani kita? Sanggupkah kita biarkan hati kita kosong dan dahaga dengan ilmu agama? Sedangkan perut yang kosong boleh kita isi, kenapa tidak hati? Semuanya terletak pada diri kita sendiri..

    Penutup
    Cubalah sahabat-sahabat luangkan sedikit waktu untuk menambah bekalan dalam diri agar dapat menjadi generasi Islam yang utuh dan kuat. Sama-samalah kita berjuang untuk Islam. renungan ini bukan sahaja sebagai ingatan untuk sahabat tapi untuk diriku ini sendiri agar tidak leka.

    Lari tetap lari


    Buat Anak-anakku,
    Jalan ini masih jauh, sememangnya lurus tapi membukit, ditepinya jurang,



    Anak-anakku,
    Alam ini sedang merintih, sakit menanggung akibat kami yang terlupa, lupa tentang suara pepohon, lupa kelembutan embun, maka maafkan kami, dan kini biar kami tebus kembali dengan perjuangan ini, memperjuangkan pendidikanmu, agar kau tak ulangi kesilapan kami, takkan sama sekali.



    Anak-anakku,
    Atur langkahmu lebih hati-hati, cermatkan dengan cinta Illahi, biarkan yang lain bertelagah, ianya akan jadi buku sejarah, biarkan yang lain menyampah, ianya sekadar penambah perencah. (noktah)